27 November 2014 - 04:03
Dalang utama serangan ke atas Husainiyah al-Mustafa ditangkap

77 pengganas berjaya ditangkap dalam satu operasi pasukan keselamatan Saudi

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Kementerian rejim Al Saudi mendedahkan kejayaan pihaknya menahan beberapa orang dalang serangan ke atas Husainiyah di perkampungan al-Dalwah, kota al-Ahsa.

Malam Asyura lalu beberapa individu bersenjata telah menyerang Husainiyah al-Mustafa ketika masyarakat Syiah sedang mengadakan majlis berdukacita atas kesyahidan Imam Husain (a.s). Dalam insiden ini 8 orang maut manakala 30 yang lain cedera.

Jurucakap Kementerian Saudi, Mejar Am Mansur al-Turki menjelaskan dalang utama jenayah ini adalah empat individu yang mana ketuanya mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.

"Abdullah bin Sa'id Al Sarhan, Khalid bin Zuwaid al-Enzi, Marwan bin Ibrahim al-Zafar dan Tariq bin Masa'id al-Maimuni," kata beliau ketika mendedahkan nama-nama dalang insiden tersebut.

Tambah al-Turki lagi, semua individu ini mendapat arahan dari luar yang menjadikan kawasan al-Ahsa sebagai sasarannya. Mereka sebelum ini tekun menjalankan kajian untuk operasi membunuh dengan menggunakan sebuah kenderaan milik penduduk tempatan.

Setelah serangan ke atas Husainiyah al-Ahsa, pasukan keselamatan menggempur sarang perhimpunan pengganas dan berjaya membunuh dua warga Saudi dan seorang warga Qatar setelah pertempuran sengit berlangsung. Beberapa anggota pengganas diberkas dalam operasi tersebut.

Menurut jurucakap tersebut, 77 orang yang terlibat dalam jaringan pengganas ini telah ditangkap termasuk individu yang bertanggung jawab membekalkan dana dalam aktiviti keganasan itu.

Ketika berita penangkapan ini tersebar, pihak pengganas bertindak balas dengan menyerang sebuah kenderaan pengikut mazhab Syiah dan memukul seorang lelaki manakala anaknya dirantai.

Berikut adalah gambar-gambar yang disebarkan akaun-akaun Facebook penyokong militan dalam internet: